Dato' Amzah bersama penduduk menikmati jamuan yang disediakan yang dihadiri masyarakat setempat dan pimpinan politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar Taman Sri Muda
Meraikan tradisi. Dato' Amzah bersama Pengerusi MCA Kota Raja En. Lim Kim Wee dan tetamu yang lain meraikan Sambutan Tahun Baru China anjuran Persatuan Penduduk Taman Sri Muda
SRI MUDA 15 Mac 2007 – Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Dato’ Amzah Hj Umar mengingatkan penduduk berbagai kaum di kawasan Sri Muda agar tidak memandang ringan hubungan antara kaum kerana ini menjadi asas kepada keamanan dan perpaduan di negara ini.
Sambil mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjaga hubungan antara kaum beliau mahu Persatuan Penduduk Taman Sri Muda lebih aktif memainkan peranan untuk menjaga hubungan antara kaum.
Katanya, persatuan penduduk menjadi medan utama penyatuan penduduk disatu-satu kawasan perumahan kerana ianya diasaskan tanpa mengambil kira fahaman politik setempat.
“Ini penting kerana kita tidak mahu persatuan penduduk terlalu dipengarohi oleh fahaman politik mana-mana parti bagi membolehkan ianya bergerak seimbang untuk kepentingan penduduk” katanya yang juga ADUN Sri Muda
Menurutnya tidak salah persatuan penduduk diterajui dan dianggotai oleh orang politik tetapi sentimen kepartian harus diasingkan ketika mengendali dan mengurus persatuan penduduk.
“Kita mahu melihat persatuan penduduk bergerak untuk kepentingan semua pihak dan mampu membawa suara penduduk setempat” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Kota Raja
|