Dato' Amzah ketika berucap merasmikan Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Kampong Johan Setia
Sebahagian daripada ibu bapa dan pelajar yang hadir KAMPONG JOHAN SETIA – Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Dato’ Amzah Hj Umar meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bekerjasama erat dengan pihak sekolah dalam semua aspek yang melibatkan aktiviti dan perkembangan pembelajaran pelajar di sekolah. Manakala guru-guru dan pentadbir sekolah perlu mengambil sikap terbuka, sedia berunding dan menjalin hubungan baik dengan PIBG.
Katanya, PIBG bertanggongjawab sebagai badan tertinggi yang mewakili ibu bapa untuk berurusan dengan pihak sekolah dan bersedia bekerjasama bila diperlukan oleh pihak sekolah.
Dato’ Amzah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung kali ke 17 PIBG Sekolah Kebangsaan Kampong Johan Setia di sini.
Katanya lagi, setiap ibu bapa patut mengenali dan sentiasa bertemu dengan guru yang mengajar anak-anak mereka bagi mengetahui dan memantau perkembangan pembelajaran anak-anak di sekolah.
“Jangan hanya datang jumpa guru bila anak-anak kita ada masalah displin atau diambil tindakan oleh guru-guru, sedangkan pada masa lain ada yang langsung tidak mengenali guru yang mengajar anak-anak kita” tegasnya
Menurutnya, tidak mungkin bagi seorang guru yang mempunyai ramai pelajar untuk mengenali dengan dekat setiap ibu bapa pelajar sebaliknya ibu bapa lah orang yang patut mengenali dan mempunyai hubungan baik dengan guru-guru.
“Jika hubungan baik ini mampu dijalin saya percaya setiap pelajar ‘takut’ untuk melanggar displin sekolah malah akan menjadi motivasi bagi mereka untuk terus gigih belajar” katanya lagi
|