TAMAN SRI MUDA – Pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sesebuah keluarga dan ianya juga satu pelaburan jangka panjang. Melalui pencapaian dalam bidang pendidikan sesebuah keluarga miskin boleh berubah menjadi berjaya.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Dato Amzah Hj Umar berkata, ibu bapa mestilah menganggap pelajaran anak-anak mereka sebagai satu pelaburan jangka panjang dan bukanya sekadar satu skim ‘cepat kaya’
Katanya, jika kita melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN), ianya satu pelaburan wang ringgit tetapi melabur dalam pendidikan dengan memberi pelajaran yang secukupnya kepada anak-anak ianya akan dapat dinikmati secara jangka panjang oleh anak itu sendiri dan keluarga mereka.
“Ada keluarga miskin berubah menjadi berjaya bila anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik, mampu melanjutkan pelajaran hingga ke IPTA atau IPTS dan kemudian keluar dengan menjawat jawatan tinggi di sektor kerajaan mahupun swasta”
“Sudah tentu corak kehidupan keluarga tersebut akan berubah” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung kali ke 20 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda
Menurutnya, hanya pendidikan mampu menjadi agen perubahan yang terbaik dalam masyarakat. Oleh itu beliau berharap ibu bapa memberi perhatian yang serius dalam mendidik anak-anak disamping berkerjasama dengan pihak sekolah dan guru-guru.
Katanya lagi, tidak harus wujud situasi menyerah sepenuhnya tugas mendidik anak-anak kepada sekolah dan guru-guru kerana ibu bapa juga bertanggongjawab mengasuh dan mendidik anak-anak untuk berjaya.
|