UMNO Bahagian Kota Raja berjaya mengekalkan perpaduan sesama ahli dan mempunyai persefahaman yang baik dengan rakan komponen yang lain. Ini ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Dato’ Amzah Hj Umar ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja.
Katanya, meskipun UMNO Bahagian Kota Raja merupakan bahagian baru dalam keluarga besar UMNO yang terbina hasil persempadanan semula kawasan pilihanraya pada 2004, tetapi perpaduan dan kekuatan UMNO tetap terjamin.
Menurutnya, UMNO Kota Raja kini mempunyai 70 cawangan terdiri dari Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri dengan jumlah keahlian sehingga Mac 2006 berjumlah 17,847.
Katanya, kedudukan Parlimen Kota Raja dimana kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri Sri Andalas di miliki oleh MIC dan cuma satu kerusi sahaja yang dipegang oleh UMNO iaitu DUN Sri Muda, menjadikan UMNO Kota Raja perlu berada pada tahap perpaduan yang tinggi dan persefahaman yang baik.
“Kita perlukan perpaduan bukan sahaja sesama UMNO malah yang lebih penting sesama rakan komponen Barisan Nasional.
“Ini amat penting bagi Barisan Nasional terus mengekalkan kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.
“Apatah lagi dari segi komposisi kaum yang mana Melayu mewakili 49.96 peratus, India 27.23 peratus dan Cina 22.03 peratus, amat penting untuk kita sama-sama memelihara dan mengekalkan perpaduan ketahap yang terbaik” jelasnya yang juga ADUN Sri Muda.
|