Dato Seri Shahrizat Abdul Jalil diiringi ADUN Sri Muda yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, YB Amzah Umar (baju batik) ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kota Raja
SHAH ALAM, Ahad 6 Ogos. -- Golongan wanita di Selangor dilihat sebagai golongan yang paling gigih berusaha dan paling ramai melibatkan diri dalam bidang keusahawanan di negara ini. Perkara berkenaan diakui sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. ``Sejak puluhan tahun saya melibatkan diri dalam dunia politik dan setelah saya pergi ke seluruh negara menjalankan tugas memang saya akui golongan wanita di Selangor yang paling menonjol sekali. ``Bukan saya nak puji sebarangan tetapi itu adalah kenyataan dan memang kalau kita lihat wanita Selangor adalah wanita yang paling ramai minat berniaga dan berjaya dalam bidang yang diceburi,'' katanya. Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Raja di Auditorium Adtec di Seksyen 34 di sini hari ini. Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagaian Kota Raja, Datuk Amzah Umar dan Ketua Wanita bahagian itu, Nahar Ahmad. Shahrizat berkata, golongan wanita Selangor dikenal pasti sebagai golongan yang paling ramai berjaya dalam bidang keusahawanan berbanding wanita di negeri lain. Katanya, ia dapat dilihat apabila banyak produk kecantikan yang terkenal di pasaran pada masa sekarang dihasilkan oleh wanita Selangor yang cekal dan tabah menjalankan perniagaan. Selain itu, katanya, wanita negeri ini juga dilihat banyak terlibat dalam bidang perniagaan makanan dan tidak ketinggalan juga barangan perhiasan diri bagi golongan wanita. ``Oleh itu saya nasihatkan kepada golongan wanita di sini supaya jangan takut untuk berjuang, kalau nak berniaga bermulalah dulu secara kecil-kecilan dan mana tahu satu hari nanti anda juga boleh jadi jutawan. ``Memang saya akui Selangor sangat bertuah dan beruntung kerana mempunyai golongan wanita yang gigih seperti yang kita sedia maklum,'' katanya. Dipetik dari Agenda Selangor
|