KESETIAAN : Sebahagian daripada ahli UMNO Kota Raja dan tetamu jemputan yang hadir di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja UMNO PARTI KERAMAT : Semoga UMNO akan terus kekal menjadi payung dan pengiring kepada perjuangan orang-orang Melayu Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Dato’ Amzah Hj Umar ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja baru-baru ini menarik perhatian khalayak terutama perwakilan yang hadir.
Beliau melontar pandangan untuk kita renungi bersama terutama ahli-ahli UMNO, apa akan jadi pada bangsa Melayu di negara ini sekiranya Melayu Tanpa UMNO? Apakah Melayu akan jadi lebih hebat atau Melayu akan Layu sekiranya UMNO tidak lagi berkuasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan yang memerintah negara ini.
Sambil mengimbau kembali sejarah lampau bangsa Melayu bermula dari Kerajaan Melayu Melaka hinggalah tumbangnya empayar Melayu itu, beliau berkata bahawa segala rentetan sejarah suka duka bangsa Melayu ketika itu tidak dinaungi oleh sebuah kesatuan Melayu yang kuat dan kukuh.
Katanya, silih berganti penjajah di Melaka kemudian Tanah Melayu hingga membawa kepada penjajah British yang membagi-bagikan Tanah Melayu kepada beberapa kesatuan negeri seperti Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, membayangkan ketika itu orang Melayu tidak mempunyai satu gerakan yang kuat dan kukuh.
Menurutnya lagi, orang Melayu mula sedar untuk berkesatuan dan bersatu-padu bila British mula hendak memperkenalkan Malayan Union. Bertitik tolak dari situlah orang Melayu mula berfikir hendak bersatu dan hasilnya UMNO ditubuhkan.
Apa yang menarik perhatian bila beliau yang juga ADUN Sri Muda berkata, hanya Melayu di Malaysia sahaja yang masih memegang tampuk pemerintahan berbanding dengan Melayu di luar dari Negara ini.
“Kita ada Melayu di Selatan Thailand, kita ada Melayu di Selatan Filipina, kita ada Melayu di Singapura malah kita ada Melayu di beberapa kepulauan lain di nusantara ini.
“Tetapi tidak ada satu Melayupun di luar sana yang memegang tanpuk pemerintahan Negara malah hingga sekarang mereka masih berjuang malah berperang untuk mendapat pemerintahan sendiri.
“Semuanya itu kerana Melayu di sana tidak ada UMNO” tegasnya dengan mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.
Menurutnya lagi, atas sebab itu beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Raja agar sentiasa berusaha mempertahankan UMNO dengan tidak mengadu dumba sesama sendiri serta meletakan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.
Beliau juga turut mengingatkan ahli-ahli UMNO agar sedar bahawa apa yang Negara dan bangsa Melayu capai selama ini adalah hasil perjuangan UMNO. UMNO yang masih boleh berpakat dan bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain melalui pakatan Barisan Nasional adalah resepi kenapa Melayu masih terus memerintah di Negara ini.
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman terpaku dengan ucapan Dato Amzah pada malam itu.
Beliau juga memberi contoh menarik tentang kenapa kita semua perlu menjadikan sejarah lampau sebagai sempadan dan iktibar dalam menuju kecemerlangan sebuah bangsa.
Katanya, sejarah umpama cermin sisi sebuah kenderaan. Ketika kita memandu kehadapan atau ingin mengundur kenderaan kita memerlukan bantuan cermin sisi. Ketika memandu di jalanraya dan ingin memotong kenderaan di hadapan, kita memerlukan cermin untuk melihat ke belakang.
“Kenapa perlu lagi kepada sebuah cermin jika kita ingin terus ke hadapan ?
“Cermin sisi adalah sejarah lampau, untuk ke hadapan sekalipun kita tetap memerlukan sejarah sebagai panduan. Jadi sejarah suka dan duka bangsa kita sebelum ini harus dijadikan panduan dan iktibar dalam kita mengorak langkah ke hadapan.” tegasnya
Katanya lagi, sejarah tetap berulang. Sejarah tidak pernah menipu sesiapa. Cuma keadaan dan masa sahaja yang berbeza. Jika dahulu penjajah mudah menakluk negara kita kerana pemimpin melayu saling bercakaran dan tidak sebulu, jika dahulu Portugis mudah menakluk Melaka kerana adanya ‘Kitol’ dan Pateh Karmawijaya dalam kerajaan Melayu Melaka dan jika dahulu empayar Melayu Melaka ranap kerana hasad dan dengki sesama kita.
“Apa kah tidak mungkin UMNO ini juga boleh ranap kerana kita sesama kita bercakaran, berebut jawatan dan kedudukan, memperjuangkan kepentingan diri mengatasi kepentingan parti dan bangsa, mengamalkan politik wang untuk berkuasa.
“Semuanya ini boleh terjadi sekiranya kita lalai dan terlalu leka dengan apa yang ada”, tegasnya
Di akhir ucapan Dato Amzah sekali lagi menarik perhatian perwakilan dengan memetik kata-kata Dato Onn Jaafar ketika berucap di Istana Besar Johor Bharu selepas UMNO rasmi ditubuhkan.
“Janganlah kiranya hendak mengejar pangkat sahaja dengan membelakangkan bangsanya kerana dengan malangnya saya bercakap iaitu di Tanah Melayu ini ada orang yang rupa Melayu, berkulit Melayu dan segalanya Melayu tetapi dukacita disebutkan hatinya bukan Melayu”
Beliau juga mengingatkan seluruh ahli UMNO tentang kemerdekaan yang kita kecapi dengan memetik kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri Malaysia.
“Jangan kita fikir sekali merdeka maka selama-lamanya kita akan merdeka. Jika kita tidak berusaha memelihara kemerdekaan kita, penjajah secara langsung atau tidak langsung akan kembali menjajah kita”
YB Dato’ Amzah Umar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Kota Raja mengakhiri ucapannya dengan mengulangi doa yang di baca Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika berucap di penghujung pembentangan RMK9.
“Ya Allah, Engkaulah juga yang maha perkasa lagi maha mengetahui atas segalanya, antara yang baik dengan yang buruk, antara yang nyata dengan yang ghaib.
Lindungilah kami daripada bencana dan malapetaka, daripada kekacauan dan persengketaan. Makbullah doa dan usaha kami, pandulah kami dengan hidayah dari Mu untuk melakukan kebaikan dan menemui jalan yang engkau redhai, bekalkanlah kami dengan barisan warga yang berniat ikhlas, bersifat amanah berpekerti mulia dan bersifat jujur, bertanggungjawab membina sebuah negara yang maju, membina barisan warga yang bersatu, sentiasa memohon keredahan Mu. Amin ya rabbul alamin”
|