TEGAS : Boleh menegur pemimpin tetapi selagi ianya tidak berniat untuk mencari kesalahan dan mengaibkan
KEKUATAN : Kekuatan dan perpaduan ahli menjadi benteng yang kukuh untuk UMNO terus mengharungi setiap cabaran Kritikan dan teguran terhadap seseorang pemimpin adalah dituntut dalam UMNO sekiranya pandangan dan kritikan tersebut akan mengingatkan seseorang untuk kembali kepada asas perjuangan yang sebenar. Malah dalam Islam sendiri menganjurkan umatnya agar sentiasa ingat mengingati sesama Islam dan teguran serta kritikan dibenarkan sekiranya teguran itu akan menyedarkan seseorang pemimpin itu untuk kembali dari kejahilan kepada kebijaksanaan.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Dato’ Amzah Hj Umar, teguran yang tidak dibenarkan apabila ianya menjurus kepada memberi aib kepada seseorang pemimpin.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja baru-baru ini dan menegaskan bahawa kritikan, bangkangan dan perdebatan memang dituntut dalam Islam agar manusia menyedari akan kesilapan yang telah dilakukan.
“Tetapi kritikan yang bertujuan untuk memberi aib kepada orang lain, sengaja mencari kesalahan atas sifat dengki dan iri hati, sudah tentu Islam melarang keras perbuatan tersebut.
“Dalam Islam kritikan lebih berorentasikan kepentingan umat, berkesan menumpas kemungkaran dan mendidik umat untuk berterus terang, jujur dan berprinsip” tegasnya
Katanya lagi, beliau bimbang segala kritikan yang berterusan terhadap kepimpinan parti dan kerajaan akan meletakan orang-orang Melayu kembali lemah dan berpecah belah. Ini akan memudahkan unsur-unsur luar mengambil kesempatan terhadap perpecahan orang-orang Melayu.
Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh ahli UMNO Bahagian Kota Raja sentiasa berpegang kepada sikap setia kepada pemimpin dan taat kepada parti dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
|