DISKUSI : Bila timbul kekeliruan, berbincang dan bermusyawarah adalah langkah terbaik dan bukannya mencari siapa salah, siapa benar
BUKTI : Keratan akhbar Bacaria membuktikan diskusi mistik mendapat sambutan dari orang ramaiMENDAPAT SAMBUTAN : Sebahagian dari lebih 300 orang yang hadir dan mengambil bahagian di dalam diskusi tersebut Program Diskusi Mistik anjuran bersama akhbar BACARIA dan Muzium Sultan Alam Shah, Selangor, yang berlangsung baru-baru ini nyata mendapat sambutan di luar dugaan apabila tiga ratus tempat duduk di auditorium Muzim Shah Alam dipenuhi peserta.
Membariskan tiga ahli panel yang berpengalaman cukup luas dalam bidang mistik dan isu-isu ghaib iaitu Mantan Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya Dr. Mohd Jahid Sidek, Pengasas Terapi Getaran Warna yang juga Dekan Fakulti Sains Warna Universal, Universiti Terbuka Antarabangsa Untuk Perubatan Komolementari Colombo, Sri Langka, Prof Dr Sir Norhisham Abdul Wahab dan Pengasas Muzium Nurul A’la Klang, Selangor, Ustaz Safuan Abu Bakar (pemilik barang pamean yang dipamerkan), program yang berlangsung pada 13 Ogos 2006 lalu benar-benar memberi kesan, pengalaman dan pengetahuan baru buat para peserta yang hadir.
Tercetusnya idea untuk mengadakan program terbuka kepada orang ramai yang diberi nama Diskusi Mistik, Isu-Isu Alam Ghaib ini setelah melihat pelbagai andaian, tanggapan dan pandangan daripada orang ramai sendiri dan juga pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan isu-isu ini seperti pengkaji, pengamal perubatan alternative dan sebagainya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Lembaga Muzium Selangor (LMS), Encik Lofti Nazar. Tidak ketinggalan memeriahkan majlis ialah, Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hashim yang juga bertindak selaku moderator pada majlis yang berlangsung selama hampir tiga jam itu.
Menerusi program ini, banyak perkara-perkara ghaib telah dibincang serta dikupas satu persatu oleh ketiga-tiga ahli panel yang dijemput sehingga dapat memberi lebih pemahaman dan keyakinan kepda para peserta tentang kewujudan alam ghaib dan makluk-makhluk halus yang sering diperkatakkan dan hebat didebatkan pada masa kini.
Topik-topik seperti bagaimana terjadinya Jin, bahaya ilmu hitam, tempat tinggal makhluk ini, amalan baik dan buruk yang menyeleweng termasuk juga kajian dari sudut ilmu fizik yang boleh dijadikan panduan di dalam menilai isu-isu seperti ini. Diskusi juga turut hangat apabila di penghujung acara, penonton boleh bersoal jawab dengan barisan panel termasuk juga ada yang bertanya kepada pemilik barang yang dipamerkan di muzium ketika itu tentang kesahihannya dan bolehkan ia dihidupkan?
Sungguh pun program ini disertai oleh peserta pelbagai peringkat umur, diskusi tersebut berjalan cukup sempurna apatah lagi ahli panel yang hadir menyampaikan ceramah menjurus kea rah akademik sambil di selang-selikan dengan pengalaman dan kisah benar yang pernah dialami oleh mereka sendiri. Para peserta turut diberi peluang bertanya soalan ketika sesi soal jawab diadakan.
Orang ramai ketika ditemui selepas berlangsungnya program menyifatkan program yang jarang-jarang diadakan ini benar-benar berguna dan perlu diteruskan pada masa akan datang kerana melalui program seperti inilah segala perkara dan tanggapan salah serta menyesatkan manusia boleh dibendung.
Hadir sma paa program yang diadakan di Auditorium Daeng Celak, Muzim Sultan Alam Shah ini ialah Ketua Pengarang Bahagian Suratkhabar, Puan Sri Diah Shaharuddin, Editor Bacaria, Puan Laila Halilah dan juga Penolong Editor Bacaria, Saudara Muhamad Mat Yakim.
Diskusi Mistik, Isu-Isu Alam Ghaib juga diadakan bersempena dengan Pameran Misteri Jin, Hantu, Keranda…yang kini masih dibuka kepada orang ramai di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor sehingga 4 Oktober ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai diskusi tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah Muzium Selangor, Dato’ Amzah Hj Umar berkata, langkah yang diambil oleh Muzium Alam Shah dan akhbar Bacaria amat dipuji kerana melalui cara ini akan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang isu-isu berkaitan alam ghaib.
Katanya, kesediaan akhbar Bacaria untuk sama-sama terlibat dalam diskusi ini memberi peluang yang luas kepada rakyat untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang isu-isu alam ghaib secara lebih adil dan jelas.
“Peranan media amat luas dan menjadi perantara yang dipercayai oleh masyarakat. Sekiranya media tidak memberi laporan yang tepat sudah tentu ini akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
“Apatah lagi isu-isu berkaitan alam ghaib ini, tidak semua orang memahaminya dengan jelas dan betul.
“Oleh itu Lembaga Muzium Selangor amat berterima kasih kepada akhbar Bacaria kerana sanggup bersama-sama muzium untuk menjadi penganjur bersama Diskusi Mistik yang diadakan baru-baru ini” tegas beliau
|