Perangkap kelodak di Kemuning Utama (Fasa 6) berdekatan Jalan Bukit Kemuning, merupakan langkah proaktif pemaju dalam usaha mengatasi banjir kilat di kawasan tersebut
Sungai Rasau di sepanjang Bukit Rimau bukan sahaja cetek malah terlalu sempit untuk menampung limpahan air kesan dari hujan lebat. Dan Sungai Rasau akan di lebar dan diperbesarkan
Sungai Rasau di Kemuning Utama. Cetek dan sempit
SRI MUDA – Masalah banjir kilat yang sering melanda Sri Muda terutama bila hujan lebat serta masalah longkang tersumbat yang kerap menjadi rungutan penduduk terlibat akan diatasi dalam tempoh terdekat.
ADUN Sri Muda Dato’ Amzah Hj Umar yang turun sendiri meninjau kawasan yang terlibat dan telah menerima aduan serta berjumpa dengan beberapa persatuan penduduk terutama dari Taman Sri Muda menjelaskan bahawa semua aduan samada secara bertulis dan bergambar atau hasil pertemuan dan dialog yang diadakan telah dimajukan kepada pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Parit dan Saliran serta pemaju kawasan perumahan sekitar Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Bukit Rimau.
Sementara itu mengulas kejadian banjir yang berlaku di Jalan Bukit Kemuning dan Jalan Bukit Rimau serta beberapa kawasan lain sekitar Sri Muda pada 11 November 2006 yang lalu, beliau menjelaskan ianya disebabkan hujan lebat yang berterusan selama lebih kurang tiga jam bermula dari jam 2.15 petang.
Katanya, kuantiti air larian di Jalan Bukit Kemuning dan Jalan Bukit Rimau telah menyebabkan banjir kilat semasa hujan lebat.
Menurutnya, antara factor lain adalah disebabkan parit-parit sediada yang tidak dapat menampung kuantiti air larian permukaan semasa hujan lebat yang berterusan dan paras tanah platform sekolah, rumah teres serta kawasan sekitar yang rendah menyebabkan risiko banjir atau dimasuki air ‘backflow’ dari parit utama sepanjang jalan Bukit Kemuning dan Jalan Bukit Rimau semasa hujan lebat.
Menurutnya lagi, pertemuan dengan pemaju sekitar Bukit Kemuning dan Bukit Rimau, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Saliran dan MBSA baru-baru ini bakal memberi harapan baru kepada penduduk Sri Muda bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.
“Kerja-kerja penaiktaraf Jalan Bukit Kemuning dan perlebaran serta penaiktarafan Sungai Rasau akan dapat membantu mengelak kejadian banjir kilat di sepanjang Jalan Bukit Kemuning dan Jalan Bukit Rimau”.
Kerja-kerja penaiktarafan akan melebarkan sungai untuk menambah saliran (flowrate) sungai serta memperbesarkan kawasan sempit” jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja
Sementara itu pembinaan kolam takungan serta parti utama di dalam kawasan pembangunan Kemuning Utama untuk menampung air larian merupakan langkah terbaik untuk mengatasi banjir di kawasan tersebut.
Disamping itu beliau meminta penduduk yang terlibat agar bersabar dan memberi kerjasama kepada agensi yang terlibat dalam usaha mengatasi masalah banjir di Sri Muda.
|