Dato' Amzah mengambil kesempatan berbincang dengan pengurusan Masjid Al-Falah bagi melihat keperluan segera yang dapat disalurkan oleh Sekretariat DUN Sri Muda
Salah seorang anak yatim menerima bantuan persekolahan dari Dato' Amzah Dato' Amzah bersama jemaah selepas selesai mengerjakan solat zohor dan bertakbir sempena Aidiladha Menjamu selera bersama tetamu yang hadir
SRI MUDA 2 Jan 2007 - Seramai 50 orang anak yatim sekitar Dewan Undangan Sri Muda dirai dalam majlis korban sempena Aidiladha di Masjid Al-Falah Taman Sri Muda disini.
Majlis dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid dan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kota Raja diadakan selain merai anak-anak yatim juga bertujuan untuk mendekat dan mengeratkan masyarakat Islam setempat dengan masjid Al-Falah juga bertujuan meninjau dan mendengar sebarang masalah berkaitan dengan pentadbiran masjid tersebut.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan Dato Amzah dan penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah sebelum semua yang hadir mengerjakan solat zohor dan jamuan selepas itu.
Dato Amzah yang juga ADUN Sri Muda menjelaskan bahawa sekretariat DUN Sri Muda sentiasa memberi perhatian kepada keperluan dan kehendak semasa terutama yang melibatkan pertubuhan dan komuniti di Sri Muda.
Mengulas tentang keperluan sebuah masjid baru di kawasan Sri Muda beliau menjelaskan bahawa tapak cadangan untuk masjid baru telah dikenalpasti dan urusan dengan pihak yang berkaitan sedang berlangsung.
“Insayallah dalam tahun ini (2007) sebuah masjid baru di Sri Muda akan dibina. Ini bagi menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah terutama ketika sembahyang Jumaat di mana keadaan Masjid Al-Falah sudah terlalu sempit”. katanya
Ketika berucap di majlis tersebut Dato’ Amzah mengajak seluruh jawatankuasa masjid dan penduduk setempat agar sama-sama bekerjasama dalam usaha membenteras gejala sosial yang berlaku di kawasan tersebut.
Katanya, peranan jawatankuasa masjid tidak perlu disempitkan dengan hanya terlibat dalam soal-soal keagamaan sahaja malah beliau mahu diperluaskan dalam membantu UMNO untuk menangani berbagai gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, gejala maksiat, vandalisma dan sebagainya.
Melalui cara ini katanya akan dapat mendekatkan lagi masjid dengan masyarakat setempat.
|